~HATI , hadirkan padanya PENCIPTA~


Terimalah semua yang telah diberikan Allah kepadamu dan jadilah kamu orang yang termasuk dalam golongan syakirin (orang yang bersyukur),” surah al-A’raf ayat 144.

Suasana gembira di kelas , jenaka sahabat-sahabat hanya mampu membawa seukiran senyum di wajah. Namun seringkali ada ruang dalam hati yang masih tidak terisi walau sebanyak mana senyum dan tawa dihamburkan. Tidak nampak pertalian antara senyum dan tawa itu dengan kata-kata seperti “tenang hati”, “suka hati” atau “hati gembira”.

Ketenangan, kesukaan, atau kegembiraan hati mungkin banyak bergantung kepada setakat mana ianya terisi. Waima kata-kata lucu atau lawak jenaka, walaupun dikeluarkan oleh seorang pelawak profesional pasti tidak dapat mengisi beberapa ruang tertentu di dalam hati. Dr ‘Aidh al-Qarni menyimpulkan ketenangan itu ada dalam rasa puas. Rasa cukup dengan apa yang ada. Nikmat yang dikurniakan Allah. Orang yang hidup secukupnya lebih bahagia daripada orang hidupnya kaya-raya.

Ruang kosong di hati menimbulkan kesunyian yang menggigit, kehampaan dan perasaan gelisah yang menghantui hidup. Maka dalam bilik yang riuh dengan suasana gembira, kita masih rasa keseorangan. Semasa bersama rakan-rakan rapat, juga terasa keseorangan. Kosong! Keriuhan kota tidak mengisi kekosongan hati. Lantaran menjadikan seseorang itu seorang yang pemilu atau juga seorang yang banyak ketawa tetapi kosong hatinya.

Ruang di hati inilah yang perlu diisi, bukan hanya dengan jenaka-jenaka atau pemikiran yang lebih menyusutkan, tetapi dengan sesuatu yang boleh menimbulkan ketenangan dan perasaan berteman waima diri keseorangan.

Kerana itulah Rasulullah s.a.w sentiasa mengingatkan dalam hadis-hadisnya agar hati hendaklah berzikrullah. Mengingati Allah s.w.t. merasakan Dia ada di mana-mana. Merasakan keberadaan-Nya sangat dekat, sehingga mustahil untuk berlaku tidak senonoh di hadapan-Nya. Tidak keseoranagan individu itu kerana dalam hatinya terisi dengan keyakinan kewujudan Allah yang Maha Esa, Maha Pemberi Perlindungan dan Maha Penyayang.

Hati yang mengingati Allah tidak pernah sunyi seperti hati yang lepa dari mengingati-Nya. Hati yang mengingati Allah s.w.t akan dapat menundukkan anggota-anggota tubuh badan mengikut sunatullah. Membentuk insan yang bertakwa. Hanya berjalan mengikut rentak fitrah yang telah disemaikan oleh Allah taala dalam jiwa dan nalurinya.

Cuma yang perlu diingat ialah kehadiran hati itu berserta ihsan (ikhlas) ketika berzikir, kerana tanpanya zikir tidak mungkin mendatangkan sakti. Membawa kesenangan dan ketenangan hati. Jika tertutup sudah ruang-ruang kosong dalam hati dengan berzikir, tuntutan peringkat zikir itu sudah ternyata dan insya-Allah diri tidak merasa keseorangan atau sunyi lagi. Setiap detik di tengah-tengah kehidupan kita bersama Allah taala. Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Beribadatlah kepada Allah seperti kamu melihat-Nya. Kalau kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia sentiasa melihat kamu,” hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.


0 Responses

Post a Comment

ziarah