~Allah itu jauh?~


Kenapa manusia sering buat maksiat?

Dia tahu maksiat itu salah, tapi kenapa dia lengah-lengah dalam taubatnya?

Kerana dia rasa Allah SWT itu jauh. Lambat hendak dicapai.

Kenapa manusia, jarang berdoa dan menggantungkan harapannya kepada Allah?

Kerana dia rasa Allah SWT itu jauh. Dia tidak nampak Allah, membuatkan dia rasa kurang yakin dengannya. Seakan-akan Allah itu sangat jauh dan mungkin lambat sampai untuk membantunya.

Kenapa manusia, tidak mampu hendak mengaitkan seluruh kehidupannya dengan Allah?

Kerana dia rasa Allah SWT itu jauh. Jadi pada dia, tiada makna mengaitkan urusan hidup dengan sesuatu yang jauh. Yang entah gembira atau tidak dengan kejayaan kita. Yang entah sedih atau tidak dengan kebencanaan yang menimpa kita. Yang entah hendak memberi ganjaran atau tidak dengan kebaikan kita.

Kerana kita rasa Allah SWT itu jauh, maka bila kita gundah atau resah, maka kita berlama-lamaan di dalam perasaan yang menyempitkan itu.

Namun, apakah Allah SWT itu jauh?


Dan apabila hamba-hamba- Ku bertanya kepadamu tentang "Aku" maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo'a apabila berdo'a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran ( Al Baqarah: 186)

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat dari pada urat lehernya (Al Qaaf:16)

"Apakah kamu mengira akan masuk surga padahal belum datang kepadamu (ujian) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kami. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan, diguncang (dengan berbagai cobaan). Sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, "Kapankah datang pertolongan Allah?" Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat." (Al-Baqarah: 214)


Justeru, hendak merasa keberadaan Allah SWT itu dekat atau jauh, terpulang kepada keimanan kita. Tiada paksaan dalam hendak mengimani semua ini. Tiada paksaan di dalam melaksanakan tuntutan Allah. Tapi, kebenaran itu tetap tidak akan berubah dengan pilihan kita. Kalau kita memilih untuk tidak percaya sekalipun, kebenaran bahawa Allah SWT itu tetap amat dekat tidak akan terubah.

Hatta, kalau satu dunia ini tidak beriman akan kewujudan Allah, Allah itu tetap wujud. Yang beriman tetap akan masuk syurga walau seluruh dunia menyeksanya. Yang tidak beriman tetap akan masuk neraka walau seluruh dunia menyayanginya.


"Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Al-Baqarah: 256)

Allah itu dekat. Dia tidak jauh.

Keimanan inilah yang membantu kita dalam langkah seterusnya. Bila yakin bahawa Allah itu bukan sekadar ada, malah dekat, sentiasa memerhati, mendengar dan memberikan sokongan, maka dunia ini akan mampu kita lalui dengan baik, segala perintah-Nya mampu kita jalankan dengan kemas.

Bila kita sudah yakin bahawa Allah SWT itu amat dekat, maka hilanglah segala resah gelisah. Susah senang dalam hidup ini kita akan harungi dengan tabah.


Kita juga akan rasa malu untuk membuat kerosakan dan kemungkaran. Ya, bayangkan anda mencuri di hadapan orang ramai. Adakah anda meneruskan pencurian anda dalam keadaan dilihat? Begitulah apabila kita yakin Allah itu dekat. Tidak segan kah anda berbuat maksiat dengan pemerhatian- Nya?

Kalau kita terbuat juga salah, dosa, maksiat, mungkin alpa, terlalai atau jatuh dalam kecuaian, maka kita dengan keyakinan bahawa Allah SWT itu dekat, akan segera kembali kepada-Nya, segera meminta keampunan daripada-Nya. Terasa malunya diri, bermaksiat di hadapan-Nya, dalam pemerhatian- Nya.

Kalau ada gundah, jangan segan menangis di hadapan-Nya. Dia amat dekat, pertolongannya sentiasa ada. Bila susah, segera mengadu kepada-Nya. Dia lebih dekat dengan kita daripada sesiapa yang dekat dengan kita.

Maka, apakah masih pantas untuk kita berlengah-lengah terhadap Allah SWT?

Allah amat kasih dan cinta dengan kita. Sangat dekat. Kenapa kita tidak boleh membuat permulaan, walaupun dengan langkahan kecil untuk mendekati-Nya? Kedekutnya, bakhilnya, tidak malunya kita berlagak sedemikian rupa. Sedangkan Allah SWT yang memiliki segalanya merapati kita. Kenapa kita yang memerlukan Allah SWT tidak bergerak mendekati-Nya?

Kita hanya perlu bergerak selangkah, Allah mendekati kita seribu langkah. Ya Allah, apakah ada lagi yang sebaik Engkau dalam dunia ini?

"Cukuplah bagi kami Allah, dan Dia adalah sebaik-baik wakil(pengurus) " Ali-Imran ayat 173.

Ayuh, jangan berlengah lagi...Mari kita rasa Allah dekat dengan kita. Hidup benar-benar dengan perasaan bersama-Nya.



0 Responses

Post a Comment

ziarah